Isnin, 24 Oktober 2011

WUJUDKAN PELAN ELAK PERCERAIAN

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan satu pelan diwujudkan bagi mengimbangi pembangunan sosial dan ekonomi demi menangani masalah 'keluarga komuter'.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini bagi mengelakkan berlaku penceraian di kalangan 'keluarga komuter' yang kurang memberi perhatian kepada institusi keluarga kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.

"Kita sedia maklum keluarga komuter atau keluarga hujung minggu adalah suami isteri yang tinggal berjauhan disebabkan tuntutan kerja dan bertemu pada hujung minggu atau beberapa kali setiap tahun.

"Sehubungan itu, majikan dan kerajaan harus memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak prasarana bagi memudahkan golongan ini dari segi penjagaan anak-anak seperti menyediakan pusat asuhan di pejabat," katanya selepas merasmikan Seminar Keluarga Komuter 'Hidup Berjauhan Hati Kekal Satu' di sini, hari ini.

Seminar yang dianjurkan kementerian dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara disertai lebih 300 peserta diadakan bertujuan mengenal pasti langkah bagi membantu keluarga komuter dalam mengatasi cabarannya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kerajaan dan majikan perlu memberi perhatian kepada masalah ini kerana wanita merupakan penyumbang besar dalam peningkatan ekonomi negara.

"Peratusan wanita yang bekerja kini sebanyak 60 peratus dan keadaan ini akan terus meningkat," katanya.

- UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan